13 Kesilapan Muslimin & Muslimat di Ramadhan

Artikel ini memang cukup menarik untuk membuat Paksuu muhasabah diri…memang Paksuu mengaku  pernah melakukannya walaupun bukan semua tapi tidak pernah berbangga dengan tindakan tersebut malah menginsafi diri semasa membaca artikel ini…Semoga Allah memaafkan kesalahan Paksuu dan memberi taufik dan hidayah untuk Paksuu menjadi muslim yang lebih baik.

Kesilapan Kerap Muslimin dan Muslimat di Ramadhan

Oleh :- Utz Zaharuddin  Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan’ ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, “sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu” (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. “Sahur” itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma’bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : ” dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar” (Az-Zariyyat : 18)

“Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :” Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu” ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya “Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam”. (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, ‘ponteng’ solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering’ pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat”. (Riwayat al-Bukhari)

8. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami’ as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren’ yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan semasa berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan ‘tanpa Syaitan’ ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

“Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.” ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam.

Nabi SAW telah menyebut :-

Ertinya : “Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi” ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak”

( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

 


 

Promosi buka puasa…

tengah baca harian metro edisi hari sabtu lalu ternampak pula satu promosi buka puasa…ingatkan promosi buffet ramadan ke…menu buka puasa ke…rupa-rupanya..

kekadang lawak juga syarikat bukan Islam buat promosi yang ada kaitan dengan agama Islam.

persoalannya adakah promosi ini sah pada waktu berbuka sahaja?..hi hi

apa pun jom berbuka puasa dengan gitar dan tv LCD hi hi..

Selamat berpuasa Ramadan

Assalamualaikum…mungkin terlalu awal hendak ucapkan Selamat berpuasa Ramadan pada semua tapi rasanya kalau ucapan Salam Aidilfitri diucapkan 2 minggu sebelum Syawal sudah menjadi perkara biasa…jadi apa salahnya beri ucapan awal untuk menyambut bulan Ramadan.

Terasa cepat masa berlalu…seolah-olah masih baru menjalankan ibadah puasa dan sambut raya…ada pendapat mengatakan di akhir zaman masa akan menjadi terlalu cepat…sehingga 24 jam terasa tidak cukup…betul kah?…adakah putaran bumi zaman sekarang lebih cepat dari zaman dahulu?…atau adakah hakikatnya masa yang diberi oleh Allah swt adalah sama pada setiap zaman tetapi oleh kerana terlalu banyak perkara yang melalaikan kita,masa itu berlalu tanpa kita rasa cukup.

Alhamdulillah Ramadan datang lagi…inilah bulan bonus yang Allah swt berikan pada kita untuk bersihkan diri dari dosa dan melipat gandakan pahala kita…memang tidak dinafikan membersihkan diri dari dosa dengan bertaubat dan merebut pahala mengharapkan keredaan Allah swt adalah perkara kita lakukan setiap hari tetapi ini adalah bulan Ramadan…diulang bulan Ramadan…bulan yang boleh mengubah manusia yang tidak baik menjadi baik…InsyAllah.

Kepada mereka yang tidak pernah bersolat atau solat tidak cukup atau solat setahun sekali…inilah masanya untuk kita bersolat…kita berusaha penuhkan solat kita kemudian kita tambahkan lagi pahala kita dengan bersolat berjemaah.

Kepada mereka yang tidak pernah ke masjid atau jarang-jarang ke masjid…inilah masanya untuk kita kembali meramaikan masjid seperti masa kita kecil dahulu.

Kepada mereka yang selalu menyanyikan lagu-lagu penyanyi pujaan mereka…inilah masanya kita ubah dengan membasahkan lidah dengan zikrullah dan selawat serta membaca al quran.

Kepada mereka yang kedekut…inilah masanya untuk kita berubah menjadi pemurah dengan bersedekah tidak kira secara terang atau bersembunyi.

Kepada mereka yang mendedahkan auratnya dan selalu berpakaian menjolok mata…inilah masanya untuk kita kembali menutup aurat dan berpakaian sopan sama seperti kita bersekolah rendah agama dulu.

Kepada mereka yang selalu melayari web lucah di ofis atau di rumah…inlah masanya kita belajar menahan nafsu seks kita dengan melihat benda-benda baik.

Kepada mereka yang selalu berdua-duaan,berpelukan,berciuman dengan teman lelaki atau wanita…inilah masanya kita mengelakkan perbuatan itu di bulan yang mulia ini.

Kepada mereka yang pernah berzina dan berbuat dosa besar yang lain…inilah masanya untuk kita bertaubat nasuha…kita belajar menginsafi diri dan tidak berbangga dengan perbuatan zina serta dosa besar yang telah dilakukan.

Sekiranya ada segelintir manusia di sekeliling kita yang berkata “diorang ni semua buat baik masa bulan ramadan je..lepas masuk bulan syawal jadi setan balik” pedulikan kata mereka…hanya Allah swt sahaja yang tahu keikhlasan taubat kita.

Hampir semua manusia pernah berbuat salah dan dosa tapi hanya segelintir sahaja yang bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus.

Tetapi kalau kita jadi ‘Setan’ balik lepas bulan Ramadan…memang salah sendiri lah.

Related Posts with Thumbnails

Compression Plugin made by Web Hosting